Wednesday, July 7, 2021

Kewujudan Manusia Mengikut Pandangan Barat Secara Terperinci

 

Teori Darwin

Manusia merupakan salah satu makhluk ciptaan untuk melengkapi kehidupan di muka bumi ini. Manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding kehidupan lain kerana manusia dikurniakan dengan akal fikiran untuk berfikir dan bertanggungjawab untuk mentadbir alam ini. Manusia terdiri daripada tiga unsur, antaranya ialah: mind, body, dan spiritual. Dengan kata lain, manusia terdiri daripada akal/minda, biologikal/fizikal, dan roh. Dengan adanya otak yang dapat berfikir dengan baik, manusia menjadi pemimpin di kalangan semua haiwan/makluk yang ada di alam/bumi. Komponen fizikal merangkumi semua organ/anggota tubuh manusia serta bahagian lain yang zahir/dapat dilihat dan dipegang secara langsung. Manakala komponen roh(hani) pula komponen yang wujud tetapi tidak dapat diperhatikan secara zahir/fizikal yang kekal ada dalam setiap manusia. Roh yang mendorong manusia mencipta/mencari sistem kepercayaan. Fikiran pula merupakan kebolehan untuk menilai dan bertindak secara logik/rasional. Terdapat dua teori yang membincangkan falsafah kejadian manusia. Antaranya ialah teori mengikut agama Islam dan teori evolusi Darwin dari Barat. Kedua-dua teori ini mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan dengan falsafah kejadian manusia. Teori mengikut agama Islam telah dijelaskan di atas. Seterusnya pula kita bincangkan teori evolusi Darwin dari Barat.

Di Barat, falsafah kejadian manusia dikaji melalui teori Darwin. Charles Darwin adalah dari lingkungan orang yang taat beragama Kristian dan merupakan sarjana muda teologi. Charles Darwin mengemukakan teori proses evolusi makhluk hidup sehingga menghasilkan makhluk tertinggi yang disebut manusia. Teori evolusi ini ditunjang oleh bukti-bukti yang kukuh, cukup banyak dan menyakinkan. Bukti berupa fosil adalah makhluk yang berupakan antara beruk dan manusia. Ini menunjukkan bukti bahawa evolusi demikian pernah terjadi. Pada saat manusia meragui teori tersebut, di Trinil, Ngawi menemui fosil manusia kera yang merupakan penghubung antara bentuk kera dengan manusia sempurna yang selama ini dicari. Ini terjadi pada tahun 1891. Dunia ilmu pengetahuan menjadi gempar, kerana dengan demikian cukuplah bukti yang diperlukan untuk melengkapi teori Darwin.

Manusia Trinil ini bentuknya adalah gabungan manusia dan kera. Oleh sebab itu ia disebut Pithecantrophus erectue (Pithecus bermaksud kera, antrophus adalah manusia manakala erectus bermaksud berdiri.). Jelas di sini, makhluk ini berdiri tegak seperti manusia dan tingginya kurang dari manusia kerdil namun otaknya jenis kera kerana ia kurang dari 1000cc. Demikianlah fosil tersebut melengkapi bukti teori bahawa manusia itu marupakan hasil evolusi. Sesudah itu, fosil demi fosil yang ditemui memperkuatkan teori Darwin.

Umum mengetahui, bahawa Charles Darwin adalah pengasas Teori Evolusi, walaupun banyaknya tidak masak dengan ilmu kaji hayat, sekalipun mengamalnya, inikan pula melaksanakan proses-proses sains memerhati dan mengujikajinya. Akan tetapi, jarang sekali menyebut bersama-sama akan pengukuh kepada teori ini, atau lebih dikenali sebagai penemu bersamanya (co-founder) iaitu Alfred Russel Wallace. Malah perbincangan perdana ke atas penyangkalan teori ini langsung tidak dibayangi penemuan Wallace.

             Apa yang nyata, daripada sudut pandang ahli biologi, pemerhatian seperti yang dicatatkan Wallace (Wallace 1823-1913) sebagai orang yang lebih banyak waktunya di lapangan menjadi ahli sains kaji hayat lapangan (field biologist/field scientist) berbanding Darwin dalam penjelajahan Beagle, merupakan sesuatu yang boleh diterima akal bagi sesiapa sahaja yang membuat cerapan ke atas alam sepertinya. Begitu juga, tidak ramai yang membincangkan bersama akan teori yang menyempurnakan teori-teori evolusi dan kemajuan alat yang mengukuhkannya iaitu bermula dengan penemuan Gregor Mendel (seorang paderi) ke atas pewarisan baka sehingga penemuan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) oleh James D. Watson.

Istilah “evolusi” menjadi satu perkataan yang seolah-olah haram disebut atau tidak perlu difahami oleh orang beriman pada hari ini. Istilah ini menjadi titik tolak perbezaan dan perdebatan besar yang hangat diperkatakan di kalangan saintis dan agamawan, Islam terutamanya. Evolusi boleh dedifinisikan sebagai perubahan ciriciri yang diwarisi oleh populasi hayat dari generasi ke generasi. Walau bagaimanapun, pergeseran yang timbul bukanlah disebabkan definisi ini, tetapi mekanisma teori ini sendiri. Charles Darwin, seorang ahli biologi dan geologi yang berasal dari Britain adalah nama yang tidak boleh dipisahkan lagi daripada teori ini. Darwin sebenarnya bersama-sama Alfred Russel Wallace telah mencetuskan kontroversi dalam dunia sains apabila mencadangkan prinsip Natural Selection ataupun Pemilihan Semulajadi sebagai mekanisma utama dalam teori evolusi. Secara ringkasnya, mengikut prinsip

Pemilihan Semulajadi ini, semua hidupan, termasuk manusia, tumbuhan, haiwan dan lain-lain berasal dari organisma unisel (single celled organism) yang berevolusi secara kebetulan. Teori ini mempunyai akarnya daripada Teori Permulaan Hidupan atau The Beginning of Life yang cuba merungkai persoalan kewujudan bahan asas kehidupan di muka bumi ini iaitu air.


Faktor Pencetusan Teori Darwin

Faktor utama yang menyumbang kepada pencetusan teori pemilihan semulajadi oleh Darwin ini ialah selepas cerapan yang dijalankan olehnya sendiri di Pulau Galápagos di dalam pengembaraan H.M.S. Beagle dengan melihat burungburung yang memiliki jenis paruh yang berbeza-beza. Pada mulanya, Darwin menganggap bahawa burung di Pulau Galápagos itu hanyalah jenis yang berbeza sahaja dari burung yang dicerap di tempat lain, tapi tidak mengetahui bahawa ianya adalah spesies endemik berbeza yang hanya terdapat di Pulau Galápagos. Setelah pulang dari pengembaraan H.M.S Beagle, beliau telah menyerahkan spesimen burung-burung Pulau Galápagos kepada John Gould yang merupakan pakar taksonomi burung, yang seterusnya menyatakan bahawa burung-burung itu merupakan spesies endemik yang belum pernah direkodkan. Perkara ini (selain pemerhatian Darwin terhadap teritip, burung merpati dan Orang Utan) menjadi punca utama Charles Darwin menggariskan 5 teori asas yang perlu berlaku secara serentak bagi membolehkan prinsip Pemilihan Semulajadi untuk berlaku di dalam bukunya ‘On the Origin of Species’:

i) Prinsip yang pertama ialah evolusi, iaitu sebarang hidupan (spesies) boleh wujud dan bertahan merentas masa, dan sepanjang kewujudan mereka, mereka berevolusi atau berubah.

ii) Prinsip kedua ialah, asas keturunan yang sama atau common descent iaitu setiap organisma adalah terhasil dari satu moyang (ancestor) yang sama atau beberapa moyang yang telah mencapah menjadi organisma yang berbeza-beza.

iii) Prinsip ketiga ialah kebolehan organisma untuk berganda, iaitu kepelbagaian hidupan yang ada pada hari ini adalah berasal dari satu populasi induk yang telah berganda yang seterusnya berpecah menjadi dua populasi dan berpecah lagi seterusnya berbillion tahun yang lampau

iv) Prinsip keempat ialah pengumpulan, iaitu perubahan evolusi yang berlaku secara perlahan-lahan di dalam populasi merentas masa.

v) Prinsip terakhir ialah pemilihan semulajadi, iaitu perubahan evolusi yang membuatkan individu berbeza, menjadi titik tolak sama ada individu itu mampu bertahan untuk hidup atau tidak (survival of the fittest).


Alfred Russel Wallace, seorang naturalis dari Britain, ialah seorang ahli biologi yang sering dilupakan apabila idea mengenai evolusi dibincangkan, sedangkan cerapan yang dilakukan oleh Wallace adalah jauh lebih ilmiah dan 347 menepati kaedah saintifik berbanding Darwin. Pada tahun 1848, Wallace telah menjelajah hutan Amazon di Amerika Selatan bagi mengkaji dan mengumpul specimen flora dan fauna di sana dan beliau mendapati kepelbagaian morfologi, kelakuan dan mekanisma pertahanan diri yang dimiliki oleh haiwan dan tumbuhan di sana adalah sangat unik. Sebagai contoh, kebolehan mangsa bersembunyi dari pemangsa dengan penyamaran (camouflage), bentuk paruh burung yang khas sesuai untuk mencari makanan dan banyak lagi. Cerapan ini telah membuatkan Wallace mencetuskan teori Pemilihan Semulajadi, di mana sebagai contoh haiwan mangsa semakin pandai mengelak dan bersembunyi dari pemangsa dari generasi ke generasi. Teori ini telah diterbitkan secara serentak bersama-sama teori Charles Darwin pada tahun 1858. Walaupun kedua-dua mereka bersetuju tentang prinsip Pemilihan Semulajadi ini, tetapi Darwin menekankan bahawa persaingan antara individu adalah kuasa utama penggerak evolusi, berbeza dengan Wallace yang berpendapat bahawa perubahan yang berlaku adalah adaptasi organisma terhadap perubahan sekeliling.

Golongan Neo-Darwinisma, iaitu golongan pengukuh teori selepas penemuan Mendel dan Watson menyatakan bahawa tiga syarat mesti dipenuhi untuk membolehkan prinsip Pemilihan Semulajadi berlaku: 1) perlu ada pembiakan yang menghasilkan anak atau keturunan; 2) keturunan yang dihasilkan perlu berbeza dari generasi induk disebabkan mutasi; dan 3) mutasi secara kebetulan akan menghasilkan perbezaan dengan generasi induk yang membolehkan mereka hidup dengan lebih baik dan terus membiak. Dalam erti kata lain, Darwin berhujah dengan mengatakan perbezaan yang terhasil dari prinsip Pemilihan Semulajadi ini adalah disebabkan impuls dan kecenderungan adaptasi terhadap perubahan persekitaran. Sebagai contoh, seekor monyet tidak boleh melahirkan seorang manusia, tapi monyet ini boleh melahirkan anak monyet yang lebih menyerupai manusia. Anak monyet ini pula akan melahirkan anak yang lebih lagi menyerupai manusia dan seterusnya sehingga wujud manusia seperti hari ini.

Video Teori Kewujudan Manusia Mengikut Pandangan barat 



Rujukan 

Wallace, A.R. 1823-1913. Island Life, or, The Phenomena and Causes of Insular Faunas and Floras, Including Revision and Attempted Solution of the Problem of Geological Climates. 526 hlm. ISBN-13: 978-0-226-04503-0.

Sulloway, Frank J. 1982. The Beagle collections of Darwin's finches (Geospizinae), Bulletin of the British Museum (Natural History), Historical Series 43 (2): 49–94

 Wallace, Alfred. On the Tendency of Varieties to Depart Indefinitely From the Original Type. The Alfred Russel Wallace Page hosted by Western Kentucky University. Archived from the original on 29 April 2007. (diakses pada 18 March 2014).

http://falsafahkejadianman.blogspot.com/2007/03/falsafah-kejadian-manusia-mengikut.html?m=1



No comments:

Post a Comment

Kewujudan Manusia Mengikut Pandangan Barat Secara Terperinci

  Teori Darwin Manusia merupakan salah satu makhluk ciptaan untuk melengkapi kehidupan di muka bumi ini. Manusia mempunyai keistimewaan ya...